Refleksi:
KEKUATAN
Kekuatan saya di dalam set induksi adalah soalan yang saya lekatkan di
papan tulis mampu menjana idea murid dengan lebih berkesan. Setelah pembacaan
pernyataan masalah selesai di baca oleh murid maka murid terus ada idea untuk
menyelesaikan soalan tersebut. Soalan bersifat pernyataan masalah yang
melibatkan nama rakan-rakan mereka menjadi lebih seronok untuk dijawab oleh
murid. Disamping itu, alat bantu mengajar yang ringkas mampu menarik perhatian
murid untuk fokus di dalam proses pengajaran seterusnya.
Kekuatan saya yang utama adalah pada kelantangan suara saya. Murid akan
memberikan sepenuh perhatian terhadap kelantangan suara saya di dalam kelas.
Kelebihan suara yang lantang mampu memudahkan tugas saya di dalam menyampaikan
ilmu kepada murid secara berkesan. Murid akan menjadi lebih fokus kepada proses
pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Kemantapan suara guru di dalam
mengajar murid mampu menunjukkan ketegasan di dalam seni pengajaran bagi
seseorang guru. Murid akan lebih jelas memahami segala maklumat yang
disampaikan oleh cikgu. Kita sedia maklum bahawa murid tahun 1 terutamanya akan
menjadi kurang fokus apabila guru tidak memberi sepenuh tenaga di dalam
pengajarannya. Sekiranya suara guru tidak jelas maka murid akan mudah bosan dan
proses penyampaian ilmu kepada murid akan menjadi tidak berkesan. Murid akan
ketinggalan ilmu dari segi proses penyampaian ilmu secara bersemuka dengan
guru.
Disamping itu, murid sangat berminat di dalam mempelajari
sesuatu yang baru. Di dalam pengajaran saya, murid menjadi lebih faham apabila
saya menyelitkan Bahasa Iban di
dalam set induksi. Kalau sebelum ini ada diantara mereka masih tidak faham
perkataan ‘banyak’ maka setelah diperkenalkan perkataan Bahasa Iban iaitu
‘mimit’ maka murid terus memahami bahawa perkaitan tambah dengan sesuatu benda
yang banyak bilangannya. Selain itu, melalui pengajaran saya, murid menjadi
seronok kerana saya menunjukkan gerak badan
yang berkaitan dengan topik yang saya ajar iaitu tambah. Dengan melakukan
gerak badan maka ia sekaligus memberi pemahaman yang terus kepada murid dan
murid akan lebih memahami proses menambah. Yang paling sekali murid menjadi
lebih seronok kerana saya dapat membimbing mereka menambah menggunakan jari dan
ini sekaligus menjadikan pengajarannya saya lebih menarik.
Dalam proses pengajaran ini, saya ada menyelitkan perkataan-perkataan baru yang menarik
dan mampu menguatkan pemahaman murid ke tahap yang lebih tinggi. Misalnya
perkataan ‘bentuk lazim’, saya mengaitkan ayat berkenaan bersamaan dengan
‘susun rumah. Rasional saya menggunakan perkataan ‘susun rumah’ adalah murid
akan lebih jelas dan faham bahawa penyelesaian soalan matematik melibatkan
tambah amnya harus menggunakan ‘bentuk lazim’. Ingatan murid tahun 1 masih
lemah dan mereka harus dibimbing dengan pengenalan bahasa-bahasa yang menarik
agar mereka dapat faham dan ingat secara berterusan sehingga ke tahun-tahun
mendatang.
KELEMAHAN
Kelemahan utama saya adalah murid kelihatan takut untuk
menjawab soalan yang saya kemukakan di hadapan kelas. Sebab yang utama adalah
kelantangan suara saya menjadi satu ketegasan yang disalah ertikan oleh murid.
Murid mengganggap setiap kali saya meninggikan suara untuk memberikan
pengajaran dengan lebih jelas dianggap sebagai suara orang yang sedang marah
dan ini menyebabkan murid tidak berani untuk menjawab soalan yang dikemukakan
oleh saya. Bagi mengatasi masalah ini maka saya terpaksa memanggil nama murid
secara rawak untuk menjawab soalan saya.
Ketakutan murid di dalam menjawab soalan yang saya
kemukakan merencatkan sedikit proses pengajaran saya di dalam kelas. Murid yang
dipilih untuk menjawab soalan memberikan jawapan yang kurang tepat. Ini adalah
kerana mereka ‘gelabah’ untuk menjawab soalan yang saya kemukakan. Disamping
itu saya mendapati bahan bantu mengajar saya tidak begitu menarik dan
bersesuaian di dalam mengajar Matematik Tahun 1. Ini adalah kerana saya baru
menimba pengalaman di dalam mengajar kelas tahun 1.
Kelemahan saya seterusnya adalah saya menjalankan pengajaran secara terus
kepada murid tanpa memanggil nama murid untuk menyelesaikan soalan di papan
tulis. Maka kelemahan ini akan menjadi satu pengajaran yang berpusatkan guru
semata-mata. Ini akan menyebabkan murid-murid yang lemah akan tidak memahami
pengajaran yang saya lakukan. Hal ini dikesan oleh saya pada peringkat
perkembangan pembelajaran dimana murid-murid yang lemah masih keliru
menggunakan jari mereka di dalam proses menambah. Misal contoh 6+7=, ada
diantara murid yang tidak tahu lagi menambah selepasa kesepuluh jari mereka
telah digunakan. Alternatif lain yang boleh digunakan adalah dengan menggunakan
jari kaki di dalam menambah nombor yang lebih daripada sepuluh.
Masalah utama yang didapati adalah pada latihan yang diberikan. Kebanyakkan
murid melakukan kesalahan yang sama iaitu tidak memindahkan hasil tambah yang
lebih daripada sembilan di nilai tempat sa ke nilai tempat puluh. Kesalahan ini
diulangi untuk soalan-soalan yang lain walaupun telah diingatkan berulang kali.
Selain itu, saya tidak mempunyai cukup masa di dalam
memberi murid menyelesaikan latihan di dalam lembaran kerja yang diedarkan.
Setelah menyemak jawapan murid, rata-rata mereka hanya membuat 4 sehingga 5
soalan yang betul sahaja. Ini adalah kerana mereka terpaksa mengejar masa yang
diberikan oleh guru. Kerana kesuntukkan masa maka saya tidak dapat menjalankan
proses penyemakan bersama-sama murid. Hanya satu soalan sahaja yang dapat
diperbincangkan dan ianya tidak cukup memberi pemahaman yang lebih kukuh kepada
murid.
LANGKAH
MENGATASI
Bagi mengatasi masalah ini, saya akan cuba untuk menambah baik proses
pengajaran saya di masa hadapan. Saya akan cuba untuk menghasilkan bahan bantu mengajar yang menarik dan sesuai untuk
tahap pemikiran murid tahun 1. Disamping itu, saya akan menggunakan teknologi
komputer di dalam proses pengajaran saya agar pengajaran saya menjadi lebih
berkesan. Murid akan lebih fokus sekiranya pengajaran yang kita jalankan
diselitkan dengan animasi-animasi menarik.
Saya juga akan memperbaiki
kelantangan suara saya agar tidak nampak begitu tegas kepada murid. Murid
akan lebih berani untuk menjawab soalan yang dikemukakan oleh guru sekiranya
guru mampu menggunakan suara yang sederhana lantangnya. Murid tahun 1 masih
diperingkat umur pembesaran dan mereka ini memerlukan sokongan dan kasih sayang
daripada guru. Ini akan menjadi motivasi yang sangat berharga kepada
murid-murid khasnya.
Seterusnya, untuk mengelakkan proses
pengajaran yang berpusatkan guru, saya akan kerap kali memanggil murid
untuk menjawab soalan di papan tulis. Untuk mengelakkan perasaan pilih kasih di
dalam memilih murid menjawab soalan, saya akan menggunakan pelbagai teknik
secara permainan kepada mereka. Diantara permaian yang menarik adalah seperti
‘kotak beracun, ‘cabutan nama bertuah’ dan sebagainya. Murid akan lebih seronok
dan mereka juga akan menjadi lebih fokus di dalam mencari jawapan kepada soalan
yang dikemukakan.
Pada pengajaran yang
akan datang, saya akan cuba untuk mengawal
tempoh masa saya di dalam setiap langkah pengajaran saya. Dengan mengawal
tempoh masa, saya akan dapat merancang proses pengajaran saya dengan lebih
teliti. Dengan ini, saya akan dapat memberikan lebih masa kepada murid untuk
menjawab soalan yang diberikan secara lembaran kerja. Ini akan memberi saya
lebih masa dan saya mampu menjalankan proses perbincangan bersama-sama murid.
Murid akan mengesan kesilapan yang dilakukan olehnya dan dapat menjalankan
proses pembetulan apabila berada di rumah. Ini sekaligus dapat mengelakkan
murid melakukan kesilapan yang berulang di masa hadapan.